Orang Islam dan Yahudi hanya dibenarkan makan produk Halal dan Kosher yang terjaga kesucian dan mematuhi kehendak ajaran agama. Di sesetengah negara terutama sekali negara-negara yang sekular, kekurangan daging Halal menyebabkan ramai orang Islam memilih untuk memakan daging Kosher yang dipercayai sama taraf kedudukannya dengan Halal.
Sebenarnya, adakah orang Islam dibenarkan memakan daging yang disembelih oleh orang Yahudi?
Secara umumnya, undang-undang halakha orang Yahudi adalah lebih ketat dan rumit daripada hukum Islam. Ini bukan sahaja dapat dilihat dalam aspek halal dan haram sesuatu makanan, ia juga lebih ketat dari segi cara haiwan disembelih, cara memasak dan cara memakan.
Larangan dalam pemakanan
Kedua-dua undang-undang Yahudi dan Islam melarang umatnya memakan bangkai, khinzir, serangga, tikus dan darah. Selain itu, mana-mana makanan yang beracun dan boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh juga dilarang keras.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah makanan yang dilarang agama Yahudi tapi masih dibenarkan dalam Islam. Sebagai contoh:
1. Ikan yu, kerang-kerangan dan krustasia (udang kara, ketam dan sebagainya)
2. Sesetengah jenis burung seperti burung unta dan burung emu
3. Unta (kerana tidak mempunyai kuku telapuk yang terbelah)
Ada satu persamaan menarik antara kedua-duanya iaitu kebenaran memakan belalang dari segi halakha mahupun syarak.
Selain itu, orang Yahudi ditegah mencampurkan daging dan susu bersama. Ada sesetengah orang Yahudi yang mempunyai pandangan bahawa wujud keperluan mengasingkan dua set peralatan memasak dan kawasan simpanan dalam peti sejuk untuk kedua-dua produk ini. Larangan seperti ini bagaimanapun tidak terdapat dalam ajaran Islam.
Orang Yahudi juga tidak membenarkan umatnya memakan produk seperti susu dan keju yang bukan datang daripada haiwan yang kosher.
Cuma ada satu sahaja larangan dalam Islam yang dibenarkan dalam ajaran Yahudi iaitu minuman beralkohol. Ajaran Yahudi masih membenarkan pengambilan arak dan wain selagi ia kosher.
Banyak lagi sisi yang boleh difahami tentang perbezaan atau persamaan makanan halal dan kosher. Tapi kali ini kami ingin berkongsi fakta tentang isu penyembelihan. Bolehkah umat Islam memakan daging yang disembelih secara kosher?
Persamaan penyembelihan halal dan kosher
Dari segi teknikal, ajaran Islam dan Yahudi telah menitikberatkan perkara-perkara berikut semasa proses penyembelihan:
- Haiwan mestilah hidup semasa disembelih. Disebabkan itu teknik renjatan elektrik atau apa-apa kaedah yang membuatkan haiwan berada dalam keadaan tidak sedar tidak dibenarkan.
- Haiwan mestilah disembelih menggunakan pisau atau parang yang tajam.
- Pisau tajam itu mestilah memutuskan urat di bahagian leher haiwan. Urat yang perlu diputuskan termasuklah saluran trakea, esofagus, arteri karotid dan vena jugulum. Hanya saraf tunjang sahaja yang dibiarkan.
- Darah haiwan perlulah mengalir.
- Mati dengan sekali sembelihan sahaja agar tidak menyeksa haiwan.
Perbezaan penyembelihan halal dan kosher
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan kecil antara kedua-dua konsep penyembelihan. Kebanyakan perbezaan ini tidak relevan kepada kaum Muslimin tetapi tidak boleh dipandang ringan oleh orang Yahudi:
1. Tukang sembelih
Kaum Yahudi ortodoks memerlukan orang tertentu sahaja yang digelar shochet bagi menyempurnakan proses penyembelihan. Kebiasaannya, shochet ini merupakan seorang lelaki yang alim dan dilatih khusus untuk melakukan penyembelihan.
Manakala agama Islam tidak begitu menekankan jantina, usia atau latar belakang tukang sembelih. Malah, kanak-kanak yang mumayyiz juga dibenarkan menjadi tukang sembelih. Selain itu, orang Islam dibenarkan makan daging yang disembelih oleh ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) selagi mereka mematuhi rukun dan syarat sah sembelihan.
Disebabkan itu, orang Yahudi ortodoks tidak boleh memakan daging halal kerana ia tidak disembelih oleh seorang shochet.
2. Peralatan menyembelih
Pisau atau parang sembelih yang digunakan oleh orang Yahudi memerlukan pemeriksaan teliti dari segi visual dan fizikal kerana ia harus berada dalam keadaan yang lurus serta sempurna. Selain itu, saiznya juga perlulah dua kali ganda daripada leher haiwan yang ingin disembelih.
Undang-undang Islam hanya menggariskan bahawa pisau perlu tajam, namun tidak mengapa sekiranya terdapat sedikit kesan calar, karat atau sumbing.
3. Haiwan yang putus kepala
Walaupun kedua-dua konsep penyembelihan tidak membenarkan leher dipotong sehingga kepala haiwan terputus, namun agama Islam hanya menganggap ia makruh dan haiwan itu tidak jatuh hukum haram. Manakala orang Yahudi terus menganggap haiwan itu sebagai treif apabila lehernya terputus dan tidak boleh dimakan.
4. Organ dalaman
Menurut ajaran Yahudi ortodoks, haiwan yang telah disembelih juga perlu diperiksa paru-paru serta beberapa organ dalamannya yang lain. Jika terdapat kecacatan spesifik pada organ-organ ini, haiwan itu akan jatuh hukum treif.
Darjah kosher juga ada dua tahap yang berbeza. Glatt kosher, atau kosher tahap tertinggi, hanya boleh didapati apabila tiada sebarang cela pada organ dalaman haiwan yang disembelih. Namun, jika ia tidak begitu sempurna tetapi kesemua prosedur masih diikuti dengan betul, ia akan menjadi kosher tahap biasa.
Jika dilihat perbandingan antara kedua-dua teknik penyembelihan ini, jelas bahawa daging kosher tidaklah haram hukumnya bagi umat Islam. Malah, keperluan halakha Yahudi lebih rumit dan tegas berbanding keperluan syarak.
Ahli Kitab
Orang Islam hanya boleh memakan daging kosher yang disembelih penganut agama samawi iaitu orang Islam dan juga ahli Kitab. Ahli Kitab ini pula terdiri daripada penganut agama Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang merupakan pengikut Nabi Musa dan Nabi Isa dan memegang teguh kepada ajaran kitab Taurat dan Injil.
Hukum memakan sembelihan ahli kitab adalah harus. Ianya ijma’ para ulama’ berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 5 yang bermaksud:
“DAN MAKANAN (SEMBELIHAN) ORANG YANG DIBERIKAN KITAB ITU ADALAH HALAL BAGI KAMU, DAN MAKANAN (SEMBELIHAN) KAMU ADALAH HALAL BAGI MEREKA (TIDAK SALAH KAMU MEMBERI MAKAN KEPADA MEREKA)”
